Tenaga
hidroelektrik merupakan salah satu tenaga alternatif yang popular di
negara-negara membangun. Tenaga ini dapat dijalankan di negara
membangun kerana adanya sungai yang mempunyai aliran deras. Aliran
sungai yang deras seperti air terjun membolehkan tenaga elektrik yang
tinggi dihasilkan, misalnya di Malaysia yang mempunyai banyak empangan
hidroelektrik seperti di Empangan Bakun, Sarawak. Hal ini demikian
kerana aliran air yang jatuh dari puncak air terjun membolehkan turbin
digerakkan dan seterusnya menyebabkan generator elektrik menghasilkan
tenaga elektrik.
Bukan
itu sahaja, isipadu air yang tetap dan banyak juga penting untuk
penjanaan tenaga hidroelektrik. Isipadu air sungai yang sedikit
menyukarkan turbin digerakkan dan secara tidak langsung menyebabkan
tenaga elektrik yang terhasil adalah sedikit. Selain itu, tenaga
hidroelektrik merupakan tenaga komersial yang keempat terbesar di
peringkat global selepas minyak, arang batu dan gas. Dalam hal ini,
dapat dilihat bahawa tenaga alternatif seperti tenaga hidroelektrik
kini telah menjadi penting kepada penduduk dunia untuk membekalkan
sumber elektrik.
Tenaga
hidroelektrik juga menjadi komersial kerana tenaga ini bersih dan
tidak mencemarkan udara. Penghasilan tenaga ini tidak membebaskan gas
karbon dioksida yang mampu mencemarkan kandungan udara dan bahan radio
aktif atau bahan kimia lain yang boleh mencemarkan sungai. Hal ini
berbeza dengan tenaga konvensional seperti petroleum yang mampu
mencemarkan kandungan udara sekeliling ketika penghasilan minyak.
Tenaga hidroelektrik juga telah menjadi komersial kerana tenaga ini
selamat digunakan dan sangat efisien kepada pengguna.
Di
samping itu, tenaga hidroelektrik banyak dijana di negara-negara
membangun kerana kebanyakan sungai di negara ini sentiasa mengalir
sepanjang tahun. Hal ini membolehkan tenaga elektrik sentiasa dapat
dijana setiap masa. Tenaga hidroelektrik sukar dijana jika aliran
sungai tidak berlaku sepanjang tahun. Selain itu, negara-negara
membangun juga memiliki banyak tempat strategik untuk membina empangan
hidroelektrik. Hal ini membolehkan tenaga hidroelektrik banyak dijana
di negara tersebut. India merupakan salah satu negara yang banyak
menjana tenaga hidroelektrik.
Tambahan
lagi, tenaga hidroelektrik juga amat murah untuk dijanakan. Oleh sebab
itu, negara-negara membangun banyak menjana tenaga ini kerana hal ini
bersesuaian dengan keadaan kewangan negara membangun yang masih belum
begitu kukuh. Sebaliknya, penjanaan hidroelektrik ini mampu memberikan
pulangan yang agak lumayan kerana tenaga ini merupakan salah satu
tenaga yang komersial di dunia.
No comments:
Post a Comment